Tuesday 17 January 2012

T.M3:Still in My Brother's Story

‎"Ana banyak dosa ni ustaz, serabut sangat, tak sanggup ana nak pikul lagi semua amanah ni. Ana nak lepas semua jawatan yang ana pegang! " tegas suara Zul. Petang itu suasana tegang. Murabbi Zul, Ustaz Ahmad hanya memerhatikan Zul dengan pandangan simpati.

Zul adalah pemimpin muda gerakan dakwah di tempatnya. Potensi kepimpinannya yang tinggi disedari ramai menyebabkannya cepat berada di posisi ketua walaupun usianya sangat muda. 

Siapa yang tidak kenal Zul, lepasan Universiti tersohor negara, petah berpidato, bijak melaksanakan program, lancar dalam penulisan, aktif beriadah bersama anak muda, pandai mengambil hati orang tua, handal mengendalikan mesyuarat, ideanya sentiasa memukau dan seribu satu kelebihan. Satu pakej lengkap yang jarang ada pada anak muda yang seusia dengannya.

Justeru, Zul sentiasa menjadi pilihan memegang kerusi ketua di peringkat mana sekalipun dia berada. Bermula dengan satu, dua, tiga kemudian bertambah hingga mencecah puluhan jawatan dalam masa yang serentak. Dari peringkat cawangan, kawasan, negeri hatta kebangsaan, ada sahaja jawatan yang Zul sandang. Walaupun Zul tidak meminta semua jawatan itu, namun dia tidak pernah pula menolak amanah yang diberikan kepadanya.

Kesannya, Zul semakin jarang dilihat berada di masjid. Apatah lagi pada waktu Subuh. Jika dahulu, dialah orang pertama yang sampai ke masjid dan bersaing dengan tok siak untuk membuka lampu masjid, kini bayangnya pun tidak kelihatan. Bila ditanya kemana menghilang, dengan senyuman Zul mengatakan dia penat bermesyuarat hingga jam 3 pagi.

Al quran yang dahulunya sentiasa basah di bibirnya, kini sudah berminggu tidak disentuh. Entah dimana letaknya Quran pun Zul sudah tidak ingat. Bila ditanya kenapa demikian, tanpa rasa bersalah Zul mengatakan dia sibuk dengan program yang tidak henti henti banyaknya.

Belum dibilang menghilangnya solat dhuha, zikir selepas solat, al mathurat, al mulk dan amalan sunat lain yang sering dilaziminya di zaman kampus. Semua lebuh! 

Jika ditanya tentang Qiam, lagilah menyedihkan.. Sedangkan dalam kuliah pengisiannya sering dia tekankan bab Qiamulaill bagi seorang daie.

Akhirnya tiba saat Allah menguji Zul. 

Dia ditimpa ujian yang pelbagai. Emak dan ayahnya ditimpa sakit secara tiba-tiba. Perniagaannya tidak menjadi. Ada sahabat yang mendengki kepadanya. Bahkan banyak program kendaliannya banyak masalah.

Zul merasa tertekan. Lalu dihiburkan hatinya dengan menghabiskan masa menonton Maharaja Lawak Mega. Bukan main kuat tawa Zul. Katanya untuk hilangkan stress. Tidak cukup dengan itu, habis diborongnya segala cd dan dvd cetak rompak untuk ditonton di home teater rumah sewanya itu.

Namun ternyata semua itu tidak mengubat jiwanya yang kusut.

Zul mula melayari internet, dilihatnya laman laman web yang tidak sewajarnya dibuka oleh seorang pendakwah sepertinya.

Namun, hatinya tetap juga serabut. Tiada ketenangan.

Akhirnya,Zul mengambil keputusan yang mengejutkan. Dia merasakan punca kekusutan itu berpunca dari jemaah yang dia sertai itu.

Lalu petang itu dia melepaskan segala tekanannya. Dia nekad mahu letak jawatan!

Ustaz Ahmad yang setia mendengar luahan hati Zul dari tadi segera memeluk Zul. Dakapannya erat. Terasa hangat dengan kasih sayang bagai seorang ayah dan anak.

"Zul, ana faham perasaan nta." Lembut ustaz Ahmad memulakan bicara. Dia pernah alami keadaan seperti itu. Bahkan saat getirnya lebih teruk dari apa yang Zul alami. Dia pernah curang pada isterinya.

Tapi Ustaz Ahmad telah bertaubat. Rumah tangganya yang dulu retak menanti belah kini telah berubah seumpama taman syurga, tiada lagi esak tangis kedengaran. Hanya gurau senda dan ketawa manja antara ahli keluarga yang menghiasi rumah Ustaz Ahmad. 

Justeru, Ustaz Ahmad sangat memahami kepedihan jiwa yang dialami oleh Zul.

Pelukan erat dirungkaikan. Ustaz Ahmad mencapai tangan Zul dan melihat lembut ke wajah Zul yang tampak runsing. Zul masih lagi memandang ke lantai. Segera Ustaz Ahmad menyambung bicara.

"Dulu ana pernah alami apa yang nta rasakan. Bahkan ana telah pun letakkan semua jawatan ana. Ana pinggirkan diri dari Jemaah. Mesyuarat ana ponteng, Usrah ana culas, Liqa fikri pun ana buat tak tahu, apatah lagi hadir ke markas. Ana rasa serabut dengan kerja kerja jemaah waktu itu. Untuk elak bertembung dengan sahabat jemaah, ana tak pergi ke masjid. Bahkan bila mereka call ana, segera ana reject atau biarkan sahaja tidak berangkat. Mesej mereka ana tak balas. Hingga tahap ana tukar ke no baru untuk elakkan mereka kesan ana."

Zul perlahan lahan mengangkat wajahnya melihat Ustaz Ahmad dihadapannya. Bagai tidak percaya kata kata Yang Dipertua Jemaah kawasannya itu yang tersohor dengan tawadhu dan kesolehannya begitu. Apatah lagi Ustaz Ahmad sering disebut sebut sebagai daie seribu umat. Ramai pengikutnya. Bahkan, sangat aktif dengan program jemaah tanpa mengira masa dan tempat.

"Ana buat semua itu kerana sangka jemaah punca ana bergaduh dengan Isteri ana. Masa ana banyak bersama dengan penggerak dakwah termasuklah muslimah berbanding dengan isteri ana. Akhirnya ana tersilap langkah bercinta dengan akhawat jemaah. Kisah ini akhirnya terbongkar. Ramai yang mengetahuinya dan menyebabkan ana rasa malu untuk bersama dengan jemaah. Ana mahu putuskan hubungan dengan jemaah." kedengaran sayu di hujung suara Ustaz Ahmad saat mengimbau sejarah silamnya itu.

"Namun telahan ana silap. Apabila ana melarikan diri dari jemaah, keadaan bertambah teruk. Isteri ana langsung tidak mahu bercakap dengan ana, pelajaran anak anak ana merudum teruk, dan paling menakutkan, jiwa ana sungguh tertekan dan merasakan dunia ini terlalu sempit." ustaz Ahmad mula mengalirkan air mata, Zul jadi kaget dengan keadaan itu.

"Err... Ustaz tak apa apa ka?" Zul bertanya.

"maaf, ana agak emosi sedikit petang ni." Segera Ustaz Ahmad menyeka air mata yang telah membasahi pipinya itu.

Ustaz Ahmad menyambung cerita. " Setahun lamanya ana menyepi. Hinggalah pada satu ketika ana terdengar bacaan Al quran dari radio, satu ayat yang sangat ana hafal, iaitu surah at taubah ayat 24"

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah "mendatangkan keputusanNya" (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

"Menangis ana mendengar ayat itu pada waktu itu. Terasa bagai Allah sedang berbicara dengan ana dan "mendatangkan keputusanNya" kepada ana. Segalanya tak menjadi dalam hidup ana. Rumah tangga ana porak peranda. Hidup ana carca merba." sambung Ustaz Ahmad.

Mata Zul mula berkaca kaca.

Ustaz Ahmad terua menyambung lagi, " akhirnya ana menebalkan muka hadir semula ke markaz untuk berusrah. Bukan sedikit sahabat yang mengejek. Ana tabahkan jua diri ini. Lama kelamaan ejekan itu menghilang. Ana jalankan sahaja kerja kerja yang diamanahkan pada ana. Bezanya kali ini ana lakukannya dengan penuh muraqabatillah."

"Err... Muraqabatillah tu apa ustaz?" Zul mencelah.

Ustaz Ahmad tersenyum, kemudian menjawab, " Merasakan pengawasan Allah. Ana pelihara Solat jemaah ana setiap waktu. Walau selewat mana sekalipun meeting habis pada malam sebelumnya, ana pastikan agar tetap hadir solat subuh berjemaah di masjid. "

"Alhamdulillah, walaupun program jemaah sangat padat, setiap hari ana mampu habiskan sejuzuk al quran. Kebanyakkan di baca selepas subuh dan selepas solat fardhu. Begitu juga dengan mathurat, dhuha, surah al mulk dan qiamulaill, mulanya memang agak berat kerana telah lama tinggal, dengan mujahadah dan muraqabah tadi, Alhamdulillah setiap hari ana kekal istiqamah lakukannya, dan tak pernah miss walau sehari sejak detik "come back" ana dalam jemaah."

"Sedikit demi sedikit kedamaian masuk ke jiwa. Hati ana menjadi sangat tenang. Bahkan ana menjadi sangat menjaga pergaulan dengan muslimat dan berhati hati dari melakukan maksiat mata dan seluruh anggota."

"Kesan terbesar yang ana dapat rasakan ialah Allah hadiahkan semula kebahagian dalam keluarga ana. Walaupun ana pernah bersalah besar kepada isteri ana, namun dia tiba tiba dapat maafkan ana. Allah yang pegang hati manusia, Dia boleh buka dan lembutkan hati sesiapa sahaja yang Dia mahu. Pelajaran anak anak ana kembali maju. Menangis ana pada waktu itu melihat bantuan Allah hadir. Benarlah firmannya dalam surah muhammad ayat 7, jika kamu tolong agama Allah, Allah pasti akan menolong kamu."
Panjang lebar ustaz Ahmad bercerita.

Zul tiba tiba menitiskan air mata. Hatinya tersentuh dan terharu. 

Namun ada soalan masih bermain di benak fikirannya.

"Tapi Ustaz, ana dah jauh sangat dengan Allah, bahkan dosa ana menggunung tinggi, dengan keadaan ana sebegini, tidak layak untuk ana terus menjadi ketua memimpin jemaah ini." Zul meluahkan isi hatinya dengan suara yang masih teresak esak.

Ustaz Ahmad memegang lembut bahu anak muda itu. Dia tersenyum mesra seraya berkata,

"Nta beruntung akhi, nta merasakan diri nta banyak dosa sedang di luar sana masih ramai anggap bebas dari dosa dan akhirnya mendorong mereka untuk bebas berbuat dosa." ustaz Ahmad menyambung bicara.

" seharusnya keadaan begini akan menjadi penguat semangat nta untuk terus memimpin Jemaah"

Zul kehairanan. Bagaimana seorang yang banyak dosa sepertinya harus terus memimpin.

Ustaz Ahmad segera memahami kebingungan anak muda itu, lantas dia terus menyambung bicaranya.

"Akhi, bila nta berada di posisi ketua, maka pasti nta mahu menjadi contoh kepada anak buah nta. Nta akan berada di posisi perhatian orang juga. Justeru, selain perasaan muraqabatillah tadi, nta juga ada bonus untuk berubah menjadi lebih soleh dan bertaqwa kerana nta ada suasana yang mendorong nta untuk berubah. Bahkan, kealpaan nta juga akan mudah ditegur oleh anak anak buah nta yang ramai itu."

"Tambahan pula, nta di posisi itu mempunyai peluang yang sangat besar untuk merebut sebanyak mungkin pahala untuk mengambus dosa dosa silam. Setiap arahan nta yang menyebabkan orang lain berbuat baik, pahalanya akan turut mengalir masuk ke akaun pahala nta, Subhanallah!" Ustaz Ahmad menghabiskan kalamnya.

Zul diam menarik nafas sedalam dalamnya. Lalu dihembuskan perlahan lahan. Dia rasa cukup beruntung pada petang itu dapat berbual dengan murabbi kesayangannya itu.

Tiba tiba azan Maghrib kedengaran. 

Segera Ustaz Ahmad menarik tangan Zul dengan lemah lembut dan berkata, " Jom zul ke masjid berhampiran markaz tu, ana qamat dan nta jadi imam." 

Zul mengangguk perlahan kepalanya tanda bersetuju, senyumannya meleret panjang. 

Alhamdulillah, moga aku terus istiqamah dalam jemaah ini sehingga ke akhir hayatku, bisik Zul dalam hati.

Hakim
Selepas Asar
Selasa
17 Januari 2012





No comments:

Post a Comment